Media Centre

 
 

E-mel, SMS palsu status halal produk untuk gugat pesaing

10 Jan 2012, by My Metro

KUALA LUMPUR: Sesetengah penyebaran e-mel dan SMS palsu mengenai status halal produk dan makanan di negara ini dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan persaingan.

Pengarah Komunikasi Korporat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abd Rahman berkata, amalan tidak sihat itu sengaja dilakukan pihak terbabit semata-mata mahu menggugat pesaing mereka hingga menjejaskan syarikat yang teraniaya lebih-lebih lagi syarikat Bumiputera.

“Justeru, saya menggesa supaya sesiapa saja yang menerima SMS dan e-mel palsu mengenai status halal sesuatu produk dan makanan supaya tidak mempercayainya secara melulu serta tanpa usul periksa.

“Sebaliknya mereka perlu menyemak status halalnya terlebih dulu menggunakan saluran yang ada termasuk menerusi laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memastikan kesahihannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha mengenai sikap sengaja mencetuskan kekacauan oleh pihak tidak bertanggungjawab antara faktor penyebaran e-mel dan SMS palsu mengenai status halal produk dan makanan di negara ini. Katanya, pihak terbabit sengaja melakukan tindakan itu kerana mahu menguji tahap sensitiviti agensi atau jabatan yang bertanggungjawab terhadap status halal produk dan makanan.

 
 
Share |