Media Centre

 

 

Komputer kurangkan kreativiti kanak-kanak

14 Mar 2012, by Harian Metro

MENURUT Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Pengurusan dan Teknologi (UMTECH), Prof Dr Bustam Kamri, lambakan gajet seperti komputer riba dan tablet di pasaran sememangnya tidak dapat dihalang. Ini kerana teknologi ini akan terus berkembang pesat sejajar dengan kemodenan sesebuah negara.

Bagi menyatakan sama ada kehadiran pelbagai aplikasi komputer ini menjejaskan emosi dan sosial kanak-kanak, ia bergantung kepada cara menggunakannya. Ia boleh membawa kesan positif sekiranya digunakan dengan betul dan kesan negatif sekiranya tidak dikawal ibu bapa.

Berbanding pengajaran secara manual, komputer dapat menarik minat kanak-kanak terutama pada kesan bunyi dan grafik yang memaparkan pelbagai warna. Dalam hal ini kanak-kanak menjadi pemerhati orang dewasa dan berkeinginan melakukannya. Perisian bersesuaian dapat memupuk minat kanak-kanak kepada permainan kreatif, menguasai pembelajaran dan penyelesaian masalah. 

“Ini kerana kanak-kanak boleh mengikut rentak dan tindakan orang dewasa. Mereka boleh mengulangi proses atau aktiviti seberapa kerap dan membuat eksperimen menerusi pelbagai cara. Mereka juga boleh bekerjasama dengan rakan lain dan orang dewasa untuk membuat keputusan dan berkongsi penemuan dan reka cipta yang ditemui,” katanya.

Menurut Prof Bustam, berdasarkan penyelidikan didapati penggunaan komputer boleh mengurangkan kreativiti kanak-kanak jika mereka menggunakan perisian secara latih tubi. Ini terbukti menerusi satu kajian dijalankan terhadap penggunaan perisian latih tubi di bilik darjah yang menunjukkan kanak-kanak mengalami penurunan 50 peratus daripada segi kreativiti.

“Sekiranya mereka menggunakan bahan perisian secara terbuka, ini tidak akan menjejaskan kreativiti mereka. Namun tidak semua pendidik dan ibu bapa mendapat pendedahan pemilihan bahan perisian yang bersesuaian untuk kanak-kanak,” jelasnya. 

Ramai ibu bapa memberikan pelbagai perisian sama ada dibeli atau dimuat turun menerusi Internet. Penggunaan komputer tanpa menilai kandungan bahan perisian akan meninggalkan kesan negatif terhadap emosi dan sosial. 

Dalam hal ini, ibu bapa jangan mudah terpengaruh dengan kulit muka depan yang tertera bahan perisian tanpa membuat tinjauan kandungan terlebih dulu. Seharusnya pemilihan bahan hendaklah bersesuaian dengan tahap usia dan nilai budaya setempat. 

“Pastikan perisian seperti isi kandungan, grafik dan bahasa digunakan sesuai mengikut tahap umur dan perkembangan anak-anak. Sebelum membeli permainan video atau dimuat turun di Internet baca isi kandungan di dalamnya. Pastikan ibu bapa melihat terlebih dulu bahan di dalamnya sebelum membenarkan anak-anak bermain,” katanya. 

Elakkan memberi pendedahan dengan unsur keganasan. Didik kanak-kanak bahawa komputer hanya sebagai salah satu alat pembelajaran saja. 

Kebanyakan kanak-kanak boleh duduk bermain di hadapan komputer disebabkan ganjaran dan tawaran dalam permainan itu. Oleh kerana adanya sifat ingin tahu yang tinggi justeru mereka bermain berterusan sehingga dapat mengetahui apakah yang berlaku pada penghujung permainan itu. Lama-kelamaan mereka menjadi ketagih dengan permainan komputer. 

“Sekiranya ketagihan itu berterusan, kecerdasan interpersonal (hubungan sesama manusia) mereka tidak akan berkembang. Ini kerana mereka hanya duduk bermain tanpa menggunakan otak. Mereka juga akan memikirkan bagaimana dapat menang. Daripada sudut sosio emosi, kanak-kanak akan mempunyai sifat pentingkan diri sendiri dan tidak ingin mengalah. 

“Sekiranya perkara ini diadaptasi dalam kehidupan seharian sebagai contoh di tadika, kanak-kanak seperti ini tidak mahu berkongsi barang permainan dan jika menyertai pertandingan, mereka akan cuba mendominasi pertandingan itu tanpa rasa ingin kalah,” katanya. 

Selain itu, meluangkan banyak masa di hadapan komputer akan menyebabkan kurang masa berkomunikasi dengan rakan sebaya atau orang dewasa. 

“Pada hal kemahiran komunikasi pada usia kanak-kanak sangat penting bagi membangunkan kemahiran sosial mereka seperti memerhati, mendengar dan berbual dengan orang lain,” katanya. 

Lebih penting permainan video yang tidak dikawal boleh mendedahkan unsur seksual dan keganasan serta memberikan kesan negatif kepada perlakuan dan pemikiran kanak-kanak malah mereka turut menjadi mangsa seksual di Internet.

 
 
Share |