Kod Kami

 

 

Kod Pengguna Am

Bahagian 1 : Pengenalan

Kuat Kuasa

  1. Kod ini berkuat kuasa walau apa pun yang menyatakan sebaliknya di dalam mana-mana perjanjian antara Pelanggan dan Pemberi Perkhidmatan.
  2. Walau apa pun yang menyatakan sebaliknya di dalam Kod ini, tiada  apa yang terkandung di dalam ini akan dikuatkuasakan untuk mengehadkan atau mengecualikan, atau bertujuan untuk mengehadkan atau mengecualikan sebarang hak atau remedi di bawah undang-undang bagi mana-mana Pengguna atau hak Pengguna menerusi Mahkamah atau menerusi mana-mana forum penyelesaian pertikaian lain yang sewajarnya.
  3. Tiada apa dalam Kod ini yang mengetepikan atau menghalang kesan atau kebergantungan kepada
    1. sebarang undang-undang bertulis atau garis panduan yang diluluskan yang mengenakan tanggungjawab yang lebih ketat terhadap Pemberi Perkhidmatan daripada yang diamanahkan di bawah Kod ini;
    2. mana-mana terma dalam sebarang perjanjian secara bertulis antara Pelanggan dan Pemberi Perkhidmatan selagi terma tersebut
      1. mengenakan tanggungjawab yang lebih ketat terhadap Pemberi Perkhidmatan berbanding di bawah Kod ini;
      2. memberikan remedi yang lebih baik kepada Pelanggan berbanding yang disediakan di bawah Kod ini.
  4. Kod ini berkuat kuasa walau pun terdapat terma kontrak yang mengguna pakai, atau yang dikatakan mengguna pakai, undang-undang sebuah lagi negara di mana terma tersebut dilihat oleh SKMM sebagai dikenakan sepenuhnya atau terutamanya untuk tujuan membolehkan pihak yang mengenakan undang-undang tersebut untuk mengelakkan penguatkuasaan Kod ini.

Objektif Kod

Objektif Kod ini ialah:

Untuk menyediakan prosedur teladan bagi:

  1. memenuhi keperluan Pengguna secara munasabah
  2. mengendalikan aduan dan pertikaian pelanggan
  3. menyediakan kemudahan timbang tara atau proses yang lebih termampu selain daripada mahkamah dan prosedur bagi memberi pampasan kepada pelanggan sekiranya kod pengguna dicabuli
  4. melindungi maklumat pengguna
  5. berusaha mencapai objektif dasar kebangsaan yang berkenaan bagi AKM 1998;
  6. menyediakan penanda aras bagi Pemberi Perkhidmatan komunikasi dan multimedia demi manfaat pengguna
  7. menggalakkan tahap keyakinan pengguna yang tinggi terhadap penyampaian perkhidmatan daripada industri.
  8. menyediakan garis panduan bagi proses kawal selia kendiri di kalangan peserta industri.

Skop Kod

  1. Kod ini dan sebarang Subkod yang dirangka menurut Fasal 6 akan mengikat pihak yang berikut seperti yang diperuntukkan di bawah AKM 1998:
    1. semua Pemberi Perkhidmatan berlesen, setakat yang berkaitan dengan aktiviti berlesen mereka,
    2. semua Pemberi Perkhidmatan tidak berlesen yang menjadi ahli Forum Pengguna.
  2. Kod ini adalah untuk kegunaan umum.  Subkod akan dirangka untuk menangani keperluan khusus industri, di mana berkenaan.  Kod ini akan berkuat kuasa ke atas semua Subkod melainkan dinyatakan selainnya secara khusus dalam Subkod.
  3. Kod ini akan dikuatkuasakan selepas didaftarkan di bawah AKM 1998.  Namun begitu, Pemberi Perkhidmatan hendaklah diberikan tempoh ihsan enam (6) bulan, atau tempoh selanjutnya yang ditetapkan oleh Majlis Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia untuk mematuhi peruntukan Kod ini.

Pentadbiran Kod

  1. Forum Pengguna akan mentadbir semua Kod yang dirangka oleh Forum ini.
  2. Pada permulaan Kod, dan dari masa ke masa, Forum Pengguna akan menghebahkan Kod dan objektifnya kepada ahli Forum Pengguna dan juga orang ramai.

Definisi

  1. “Bahan Pengiklanan” bermakna bahan pengiklanan dan promosi berkaitan dengan Perkhidmatan, yang termasuk tetapi tidak terhad kepada:
    1. iklan televisyen;
    2. iklan radio;
    3. iklan akhbar dan majalah;
    4. surat langsung;
    5. poster;
    6. bahan lain di tempat jualan;
    7. brosur;
    8. bahan pembungkusan;
    9. tag harga;
    10. papan iklan;
    11. iklan pawagam;
    12. rencana iklan;
    13. video promosi;
    14. bahan laman web;
    15. papan tanda;
    16. siaran media;
    17. mel elektronik;
    18. kumpulan berita elektronik;
    19. pesanan pegun dan sisipan;
    20. kios maklumat.
  2. “Pengguna” bermakna seseorang yang menerima, memperoleh, menggunakan atau melanggan perkhidmatan berkaitan komunikasi dan multimedia menurut makna dalam AKM 1988. Ini termasuk seorang Pelanggan.
  3. “Pelanggan” bermakna seseorang yang, dengan membuat bayaran, memperoleh atau melanggan kepada perkhidmatan berkaitan dengan komunikasi dan multimedia menurut maksud AKM1998.
  4. “Penafian” bermakna perkataan yang digunakan dalam Bahan Iklan, yang melayakkan, menafikan atau menambah kepada mesej asas Bahan Iklan.
  5. “Jualan pintu ke pintu” bermakna jualan, tawaran atau rundingan untuk menjual Perkhidmatan yang dijalankan di tempat kediaman atau pekerjaan Pengguna, tetapi tidak termasuk keadaan di mana terdapat permintaan, tanpa sebarang dorongan, oleh Pengguna kepada Pembekal Perkhidmatan untuk berunding bagi menyediakan Perkhidmatan di tempat kediaman, pekerjaan atau perniagaan Pengguna.
  6. “Peserta Forum” bermakna semua Pemberi Perkhidmatan berlesen, Pemberi Perkhidmatan tidak berlesen, kumpulan kepentingan awam dan NGO yang menjadi ahli Forum Pengguna.
  7. “Maklumat Peribadi” bermakna maklumat yang dikumpulkan oleh Pemberi Perkhidmatan daripada Pelanggan, yang mengenal pasti Pelanggan.
  8. “Produk” bermakna barangan fizikal yang diberikan, atau disediakan bekalannya oleh Pemberi Perkhidmatan sebagai sebahagian penting daripada Perkhidmatan.
  9. “Dakwaan Penjimatan” bermakna kenyataan yang mendakwa Pengguna akan membelanjakan jumlah wang yang lebih kecil dengan melanggan Perkhidmatan tertentu atau menggunakan Pemberi Perkhidmatan tertentu berbanding yang sepatutnya perlu dibelanjakan.
  10. “Perkhidmatan” bermakna perkhidmatan yang diberikan di dalam urusan penyediaan perkhidmatan komunikasi dan multimedia menurut makna dalam AKM 1998, termasuk Produk, di mana berkenaan.
  11. “Pemberi Perkhidmatan” bermakna pemberi perkhidmatan komunikasi dan multimedia, menurut makna dalam AKM 1998.
  12. “Subkod” bermakna kod yang dirangka untuk memenuhi keperluan khusus industri menurut Bahagian 1-5.

 
Share |