Kod Kami

 

 

Kod Capaian Internet

Bahagian 1 : Pengenalan

1. Latar Belakang

1.1 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) berusaha melaksanakan kaedah kawal selia kendiri industri, disokong oleh piawaian peraturan sandaran yang boleh ditadbir oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
1.2

Menurut Seksyen 189 AKM 1998, SKMM telah menetapkan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Pengguna) sebagai sebuah forum pengguna pada Mac 2001.  Forum Pengguna ini telah diberikan tanggungjawab untuk membangunkan subkod untuk menangani perkara yang berkenaan dengan perlindungan dan promosi kepentingan pengguna yang berkaitan perkhidmatan tertentu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, perkara yang disenaraikan dalam AKM 1998.



(a) Forum Pengguna telah mengenal pasti Subkod Pemberi Perkhidmatan Capaian Internet (seterusnya dirujuk sebagai “Kod PPCI”) sebagai salah satu daripada subkod penting bagi Forum Pengguna untuk dirangka pada peringkat ini.

(b) Kod PPCI berikut telah digubal oleh sebuah jawatankuasa kerja tetap yang dilantik di bawah Artikel 19 Perlembagaan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam permintaan dan bekalan perkhidmatan komunikasi dan multimedia. 

2. Prakata

2.1 Kod PPCI ini menyedari bahawa perubahan teknologi yang ketara sering berlaku dalam industri komunikasi dan multimedia.
2.2 Apabila teknologi mewujudkan keadaan operasi baru, Kod PPCI ini mungkin perlu dikemaskinikan untuk memenuhi, memelihara dan melindungi matlamat Kod IASP ini.

3. Objektif Kod

3.1 Menggalakkan aliran maklumat dan komunikasi bebas menerusi Internet;
3.2 Menetapkan kod amalan bagi Pemberi Perkhidmatan Capaian Internet
3.3 Menambah baik piawaian tatalaku di dalam industri

4. Definisi

4.1 Semua istilah dengan huruf besar dalam Kod PPCI ini hendaklah mempunyai definisi yang sama seperti yang terkandung dalam Kod Amalan Pengguna Am bagi Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KAPA) melainkan dinyatakan selainnya secara khusus di dalam ini.
4.2

Untuk tujuan Kod ini:

“Dasar Boleh Terima Guna” atau “DBTG” bermakna dasar yang ditakrifkan oleh Pemberi Perkhidmatan sebagai ciri penggunaan yang boleh diterima bagi perkhidmatan yang disediakan.



“Kanak-Kanak” bermakna semua orang di bawah usia 18 tahun seperti yang ditakrifkan oleh Akta Kanak-Kanak 2001.



“Kod” bermakna Kod PPCI.



“Forum Pengguna” bermakna Forum Pengguna Malaysia yang ditubuhkan menurut AKM 1998.



“AKM 1998” bermakna Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk sebarang pindaan kepadanya dari masa ke masa.



“Pengguna” bermakna seseorang yang menerima, memperoleh, menggunakan atau melanggan perkhidmatan capaian Internet yang diberikan oleh mana-mana Pemberi Perkhidmatan.  Ini termasuk Pelanggan.



“Pelanggan” bermakna seseorang yang, dengan membuat bayaran, memperoleh atau melanggan perkhidmatan capaian Internet yang diberikan oleh mana-mana Pemberi Perkhidmatan.



“KAPA” bermakna Kod Amalan Pengguna Am Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.



“Penjaga” bermakna mana-mana ibu bapa sebenar atau orang yang menjaga atau mempunyai kawalan terhadap seorang kanak-kanak.



“Internet” bermakna sistem maklumat global yang dapat menyokong komunikasi menggunakan suite Protokol Internet (IP) atau sebarang lanjutan atau susulannya dan/atau protokol serasi IP lain.



“Perkhidmatan Capaian Internet” bermakna perkhidmatan aplikasi di mana seseorang dapat mencapai perkhidmatan dan aplikasi Internet.



“Pemberi Perkhidmatan Capaian Internet” atau “IASP” bermakna seseorang yang menyediakan Perkhidmatan Capaian Internet.



“SKMM” bermakna Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.



“Maklumat Peribadi” bermakna sebarang maklumat yang dikumpulkan oleh Pemberi Perkhidmatan daripada Pelanggan, yang boleh mengenal pasti Pelanggan tersebut.



“Pemberi Perkhidmatan” bermakna pemberi perkhidmatan yang dinyatakan dalam Seksyen 5.1 (Bahagian 1).



“Spam” bermakna pesanan elektronik tidak diminta yang dihantar menerusi pelbagai kaedah komunikasi yang termasuk tetapi tidak terhad kepada e-mel, perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mudah alih atau perkhidmatan pesanan segera di mana tiada sebarang hubungan yang pernah dijalin antara penghantar dan penerima, walau apa pun kandungannya,  sama ada pesanan komersial atau bukan komersial termasuk program dan/atau data berniat jahat.



“Laman Web” bermakna fail yang mengandungi teks, audio dan/atau data visual yang boleh dicapai menerusi World Wide Web menerusi Pelokasi Sumber Seragam atau Universal Resource Locator (URL).

“Jaringan Sejagat” bermakna rangkaian laman web yang boleh dicapai menerusi Internet termasuk tetapi tidak terhad kepada Protokol Pemindahan Hiperteks (‘http’).

5. Skop

5.1 Kod ini berkuat kuasa kepada yang berikut:

  1. PPCI
  2. Orang lain atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh SKMM; dan
  3. Ahli Forum Pengguna.

    (Untuk tujuan Kod PPCI, pihak yang tertakluk kepada kod dirujuk sebagai “Pemberi Perkhidmatan”.)
5.2 Kod PPCI ini boleh dipinda dari masa ke masa.
5.3 Kod PCCI dirangka menurut Fasal 6.2, Bahagian 1 KAPA untuk menangani keperluan khusus industri perkhidmatan Internet. 
5.4 Kod PPCI hendaklah dibaca sebagai tambahan kepada dan bukan untuk mengurangkan kuasa KAPA. KAPA akan mentadbir semua Subkod melainkan dinyatakan dengan jelas dalam Subkod.
5.5 Kod PCCI ini akan berkuat kuasa selepas pendaftaran di bawah AKM 1998.  Bagaimanapun, Pemberi Perkhidmatan hendaklah diberikan tempoh ihsan enam (6) bulan, atau sebarang tempoh lanjutan yang mungkin diberikan oleh Majlis Forum Pengguna untuk mematuhi peruntukan Kod PPCI ini.

 
Share |