Media Centre

 

 

“MEMPERKASA PENGGUNA DI SARAWAK” MELALUI SESI PERKONGSIAN MAKLUMAT INDUSTRI CFM

17 Sep 2015, by

“MEMPERKASA PENGGUNA DI SARAWAK” MELALUI SESI PERKONGSIAN MAKLUMAT INDUSTRI CFM

KUCHING, 15 SEPTEMBER 2015 – Kadar penembusan perkhidmatan mudah alih di Malaysia pada masa ini melebihi 150 peratus telah memberi peningkatan kepada isu-isu perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang dihadapi oleh pengguna. Ia dapat dilihat melalui sejumlah 147 aduan baru daripada pengguna Sarawak yang diterima oleh Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dari bulan Januari 2014 hingga Disember 2014. Bagi menangani peningkatan jumlah aduan tersebut, CFM mengadakan Sesi Perkongsian Maklumat Industri (KSS) Edisi Keempat di Hilton Kuching dengan objektif untuk mendidik badan bukan kerajaan (NGO) dan pengguna-pengguna di Sarawak tentang hak-hak mereka dalam perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

Sebanyak 70.1% aduan mengenai Perkhidmatan dan Liputan Kurang Memuaskan termasuk aduan mengenai Bil & Caj direkodkan daripada jumlah aduan keseluruhan pada tahun 2014. Setakat Julai tahun ini, CFM telah menerima sebanyak 77 aduan baru dari Sarawak. Mengikut rekod CFM, terdapat peningkatan sebanyak 70% bagi aduan mengenai Tiada Liputan Perkhidmatan iaitu sebanyak 10 aduan baru diterima sehingga Julai 2015 berbanding tahun 2014.

Aduan paling tinggi yang direkodkan pada tahun 2014 ialah mengenai perkhidmatan kurang memuaskan daripada pembekal perkhidmatan, iaitu sebanyak 54 aduan diterima hanya dari Sarawak. Pada akhir Julai tahun ini, sebanyak 31 aduan baru direkodkan bagi kategori yang sama iaitu peningkatan sebanyak 57.4% daripada tahun sebelumnya. Contoh aduan bagi perkhidmatan kurang memuaskan ialah sambungan internet jalur lebar talian tetap, perkhidmatan pelanggan yang kurang memuaskan, dan komplikasi yang timbul daripada penamatan perkhidmatan termasuk kelajuan internet. KUALITI PERKHIDMATAN

  KUALITI PERKHIDMATAN KUALITI LIPUTANE BIL & CAJ SMS MMS TIADA LIPUTAN
2014 54 33 16 14 12 3
2015
(Setakat bulan Julai)
31 20 10 1 1 10
6 JENIS ADUAN PALING TINGGI DI SARAWAK

“Dalam era perkembangan pesat teknologi, pengguna kini lebih berpengetahuan dan mahukan perkhidmatan yang terbaik daripada pembekal perkhidmatan komunikasi dan multimedia di Malaysia. Bagaimanapun, mereka kini lebih sedar tentang hak-hak mereka dan mengikut statistik, kami telah menerima sebanyak 6,904 aduan dari bulan Januari 2014 hingga Disember 2014 daripada pengguna di seluruh Malaysia, iaitu peningkatan sebanyak 10% direkodkan daripada tahun 2013. Bagi negeri Sarawak, Kualiti Perkhidmatan merupakan kategori aduan yang paling tinggi pada tahun 2014. Walaupun pembekal perkhidmatan berusaha untuk menawarkan servis terbaik, namun perkara yang dijanjikan kadangkala tidak berlaku disebabkan beberapa faktor. CFM memastikan agar hak-hak pengguna dipelihara dengan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas perkhidmatan yang diberikan oleh pembekal perkhidmatan dan menangani sebarang pelanggaran Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (GCC) oleh mereka,” kata Pengarah CFM, Ahmad Izham Khairuddin.

Dalam Sesi Perkongsian Maklumat Industri Edisi Sarawak, CFM membincangkan topik-topik dan isu-isu berkaitan dengan pengguna perkhidmatan komunikasi dan multimedia di Malaysia. Dengan penyertaan dan penerangan daripada panel penceramah dari Media Prima dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) termasuk Pengarah CFM, Encik Ahmad Izham Khairuddin, CFM yakin ia dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para peserta tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka berkaitan langganan komunikasi dan multimedia.

Objektif utama CFM mengadakan Sesi Perkongsian Maklumat Industri di Sarawak adalah untuk berkongsi dengan para peserta program tentang isu-isu pengguna seperti “Era Baru TV Digital di Malaysia”, “Promosi Tidak Benar” dan “Peranan CFM dan Pelaksanaan GST dalam Industri Komunikasi dan Multimedia.”

Baru-baru ini, CFM telah memperkenalkan logo baru dan maskot sebagai sebahagian daripada transformasi untuk melindungi hak-hak penguna industri komunikasi dan multimedia dengan lebih berkesan. Kedua-dua logo baru dan maskot CFM tersebut melambangkan penglibatan berterusan untuk memastikan interaksi yang lebih relevan dan bermakna bersama semua pihak yang terlibat dalam sektor ini.

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) terletak di Wisma Straits Trading, Lebuh Pasar besar, Kuala Lumpur berdekatan dengan mercu tanda terkenal di Kuala Lumpur iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

_______________________________END________________________________

Mengenai CFM

CFM merupakan sebuah badan organisasi bebas yang ditubuhkan pada bulan Februari 2001 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selaras dengan keperluan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) di Malaysia untuk melindungi hak pengguna dalam sektor tersebut dan memudahkan kawal selia kendiri industri.

CFM bukan sahaja menyediakan ruang dan saluran untuk melaporkan aduan, tetapi juga bekerjasama dengan wakil daripada persatuan pengguna, syarikat penyedia perkhidmatan dan pihak-pihak lain yang berminat bagi merangka, membangun dan menyediakan kod-kod untuk melindungi hak-hak pengguna selain mencadangkan prosedur untuk pampasan dan tindakan kepada pelanggan sekiranya terdapat pelanggaran kepada Kod Amalan Am Pengguna (GCC) untuk Industi Komunikasi & Multimedia Malaysia. Kod tersebut telah diterbitkan pada tahun 2003.

CFM juga dalam usaha untuk mempromosi dan menggalakkan perkhidmatan dan pengendalian bermutu serta berprestasi tinggi dalam industri Komunikasi dan Multimedia. Pada masa yang sama, CFM berusaha untuk meningkatkan keyakinan dan pemahaman pengguna berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengguna yang tidak berpuas hati terhadap resolusi aduan yang telah dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia mereka, boleh mengemukakan aduan dengan melayari portal aduan CFM, www.complaint.cfm.org.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-18-2222. Untuk maklumat lanjut, lawati laman web CFM di www.cfm.org.my atau emel kepada enquiries@cfm.org.my.

Pegawai Perhubungan Media:

Noor Shahdiella Abd Manan
019-3246036
Roharrashidah Abdul Halil
016-9642972
Razaleigh Zain
019-4170766
 
 
Share |